Mahasiswa Digantung atau buang universiti | Terlibat Kegiatan Pelampau Luar Kampus

Mahasiswa yang terlibat dengan sebarang kegiatan pelampau di luar kampus akan dikenakan tindakan seperti gantung pembelajaran atau dibuang universiti.

Timbalan Penasihat Kanan Pejabat Perundangan Universiti Sains Malaysia (USM), Khairul Anuar Che Azmi berkata, hukuman akan dijatuhkan bergantung kepada peraturan sedia ada.

“Seperti contoh kes seorang mahasiswa, Adam Adli yang bertindak menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), ini adalah kes serius.

‘‘Hukuman yang boleh dijatuhkan kepadanya adalah dibuang universiti (gugur taraf sebagai mahasiswa) atau digantung pembelajaran selama dua semester dan ia bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar di universiti dia belajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Khairul Anuar, mahasiswa yang ditahan kerana terlibat secara langsung dalam sebarang kegiatan pelampau seperti demonstrasi juga boleh dikenakan tindakan sekurang- kurangnya digantung pembelajaran selama satu semester.

Katanya, semua mahasiswa yang ditahan atas kesalahan disiplin diadili di peringkat universiti iaitu mereka akan dibicarakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.

“Hukuman tidak akan dijatuhkan sewenang-wenangnya dan hukuman yang dijatuhkan kepada mahasiswa yang terlibat adalah berdasarkan kepada tahap serius kes tersebut,” ujarnya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close