Lelaki Nigeria Mengamuk Di Wad HKL

Tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila seorang tahanan yang dipercayai pengedar dadah mengamuk dalam wad hospital, sehingga membahayakan nyawa kakitangan dan pesakit lain yang sedang dirawat.

Detik-detik cemas itu bermula apabila pengedar dadah warga Nigeria mula bertindak agresif setelah beberapa ketulan dadah yang ditelan dipercayai pecah dalam perutnya.

DI sinilah tempat seorang suspek pengedar dadah warga Nigeria ditembak mati selepas mengamuk di HKL, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Akibatnya, lelaki bertubuh besar dan sasa itu mampu merentap gari di tangannya sehingga terputus lalu terpelanting dan terkena lampu wad sehingga pecah.

Lebih mencemaskan, lelaki berusia 31 tahun itu bertindak memecahkan tingkap wad untuk melarikan diri ketika dirawat di sebuah wad awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dipenuhi pesakit.

Berikutan kejadian di Wad 18 HKL, pukul 9.45 malam tadi itu, polis terpaksa menembak mati lelaki warga Afrika terbabit selepas dia cuba menyerang anggota polis dan kakitangan hospital.

Suspek yang baru tiba di negara ini Khamis lalu, ditahan di sebuah hotel di Bukit Bintang sehari kemudian, kira-kira pukul 11.13 pagi kerana menimbulkan kekecohan selain dipercayai terlibat dalam kes dadah.

Selepas ditahan dan dibawa ke balai polis untuk soal siasat, polis berjaya mengarahkan lelaki itu mengeluarkan sembilan ketulan dadah jenis syabu yang ditelan sebelum memasuki negara ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, suspek kemudian dibawa ke HKL untuk menjalani ujian imbasan dan pihak hospital mengesan terdapat beberapa ketulan dadah dalam ususnya.

“Di HKL, suspek mengeluarkan empat ketulan dadah dari tubuhnya dan kita percaya ada lima lagi ketulan dalam tubuh lelaki itu dan ada di antaranya telah pecah.

“Ketika dirawat di HKL, suspek bertindak agresif dan cuba menyerang polis serta kakitangan wad. Situasi bahaya yang dicetuskan oleh suspek itu kita percaya disebabkan ada ketulan dadah yang telah pecah dalam tubuhnya,” katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri Karnival Jom Heboh di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Mohmad berkata, 13 ketulan dadah jenis syabu yang berjaya dikeluarkan itu dianggarkan seberat 240 gram dan bernilai RM50,000.

Hasil bedah siasat yang dijalankan petang ini pula mendapati, sebanyak 21 ketulan dadah telah dikeluarkan dari perut suspek. Selain itu, polis turut menemui 12 ketulan dadah di dalam hotel didiaminya dan kesemua 46 ketulan dadah seberat 831 gram itu bernilai RM130,000.

Beliau berkata, suspek terpaksa ditembak oleh anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang mengiringinya ketika dirawat setelah dia dilihat tidak dapat mengawal diri selain bertindak ganas.

Katanya, ketika diserang oleh suspek, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan yang mengenai bahunya.

Suspek bagaimanapun semakin agresif apabila cuba memukul polis dan kakitangan wad dengan besi katil, menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arahnya menyebabkan dia mati.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Wad 18 HKL hari ini mendapati, katil yang diduduki oleh suspek sudah dibersihkan oleh kakitangan hospital.

Seorang wanita yang menemani suaminya yang dirawat di sebelah katil itu berkata, ketika kejadian malam tadi, dia terkejut apabila lelaki Afrika itu tiba-tiba merentap gari di tangan sehingga tercampak mengenai lampu wad dan pecah.

“Tidak lama kemudian, lelaki itu cuba memecahkan tingkap wad untuk lari. Keadaan kelam kabut ketika itu menyebabkan polis terpaksa menembaknya,” kata wanita berusia lingkungan 30-an itu yang enggan namanya didedahkan.

– Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close