Geng Cicakman Di Lembah Klang Tumpas

Kumpulan sindiket edar dadah digelar Geng Cicakman yang menggunakan kenderaan curi dalam aktiviti jenayah mereka di sekitar Lembah Klang, akhirnya tumpas.

Kumpulan tersebut difahamkan membentuk nama geng seolah-olah judul filem itu, berikutan terdapat tatu cicak pada dada kiri dua suspek lelaki yang diberkas di sebuah kondominium di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, sebelum itu polis memberkas seorang suspek berusia 27 tahun selepas dilihat mencurigakan ketika cuba memandu sebuah kereta Toyota Camry berwarna perak.

Katanya, susulan itu polis menyerbu sebuah rumah di tingkat 13 dan memberkas seorang lelaki berumur 39 tahun yang merupakan ketua kumpulan tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam rumah menemui pelbagai jenis dadah antaranya ketamin, eramin-5, ganja, ekstasi, heroin, syabu dan pil kuda, dianggarkan bernilai RM80,000 serta RM50,000 dipercayai wang hasil jualan bahan terlarang itu.

Katanya, polis juga menemui beberapa nombor plat palsu, cukai jalan palsu dan rangkaian kunci kenderaan curi.

“Kita merampas dua kereta yang dilaporkan dicuri di Johor Bahru. Suspek mengubah suai radio di dalam kereta sebagai tempat menyembunyikan dadah.

“Kenderaan curi ini digunakan khas untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang. Pemeriksaan juga menemui parang dan pisau yang disembunyikan di dalam kereta,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, semalam.

Beliau berkata, polis juga merampas kereta milik suspek iaitu Proton Iswara serta sebuah kereta jenis Mitsubishi berwarna hitam yang masih tidak diketahui statusnya dan mereka ditahan reman hingga Khamis depan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close