Astro Lancarkan NJOI | 37 Siaran Percuma

Astro hari ini melancarkan televisyen satelit percuma pertama negara, NJOI dan serentak dengan itu, seramai 50,000 isi rumah berpendapatan rendah yang tersenarai dalam pangkalan data eKasih akan menerima dekoder secara percuma.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau menganggap langkah Astro itu bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang mengutamakan produk serta perkhidmatan mendahulukan keperluan rakyat.

Sambil memuji langkah tersebut beliau berkata, akses secara percuma kepada 37 saluran televisyen serta radio yang ditawarkan Astro melalui NJOI akan merapatkan jurang digital di antara penduduk miskin dengan masyarakat bandar di negara ini.

“Dunia hari ini memihak kepada golongan yang mempunyai akses kepada maklumat. Mana-mana kumpulan masyarakat yang terpinggir daripada akses pengetahuan secara real time (terkini), mereka tiada kelebihan dan akan gagal untuk bersaing dengan dunia luar.

“Lebih penting NJOI ini ditawarkan secara percuma bagi fasa pertama dan terdapat saluran pendidikan untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan. Ini sudah tentu membantu kerana maklumat itu percuma berbanding terpaksa membayar kelas tuisyen.

“Ini sebahagian daripada produk dan perkhidmatan 1Malaysia kerana ia mengutamakan rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan NJOI di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cohchrane Perkasa, di sini hari ini.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close