13 Harga Barang Terkawal Sempena Sambutan Krismas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan penetapan harga maksimum runcit bagi 13 jenis barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penetapan harga itu akan dikuatkuasakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember di 146 kawasan dan daerah di seluruh negara.

“Peniaga diwajibkan menjual barangan tidak melebihi harga maksimum serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, barang tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam Gred A, telur ayam Gred B, telur ayam Gred C, tomato dan cili benggala hijau.

Katanya, harga maksimum runcit bagi barang harga terkawal untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah ayam hidup RM5.90 sekilogram, ayam standard (RM7), ayam super (RM7.80), ayam belanda import (RM25), daging kambing tempatan bertulang (RM33), daging kambing biri-biri import bertulang (RM20).

Daging biri-biri import tanpa tulang (RM24), daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM26), telur ayam Gred A (RM0.36 sebiji), Gred B (RM0.35), Gred C (RM0.34), tomato (RM4.50 sekilogram) dan cili benggala hijau (RM8.50).

Ismail Sabri berkata, peniaga individu yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu dengan menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan kementerian boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau dikompaun sehingga RM50,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Bagi syarikat, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Bagi peniaga individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi harga barangan terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat pula mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 di bawah akta sama.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata harga barangan terkawal itu berbeza di negeri-negeri lain dan orang ramai boleh mendapatkan senarai harga untuk peringkat negeri dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

Ismail Sabri berkata, skim itu dilaksanakan bagi membolehkan pengguna memperoleh barangan keperluan di musim perayaan pada harga berpatutan, memastikan penguatkuasaan kawalan harga dijalankan dengan berkesan dan menyekat peningkatan harga yang melampau.

Selain menggunakan talian bebas tol, beliau berkata pengguna boleh membuat aduan kepada kementerian jika mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi e-mel di e-aduan@kpdnkk.gov.my atau datang sendiri ke pejabat kementerian itu di seluruh negara.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close