Wanita Mengandung Rancang Samun

Keramahan dan kemesraan seorang wanita hamil lima bulan, sebenarnya hanya lakonan bagi memperdayakan warga emas yang baru dikenali di sekitar FELDA Bukit Besar di sini, sebelum konco-koconya menyamun mangsa.

Di luar pengetahuan suaminya, seorang peneroka tanah rancangan itu, suri rumah berusia 30 tahun terbabit dengan bantuan anak saudaranya dan rakan berusia 18 tahun, menyamun mangsa yang memakai barang kemas dan wang tunai yang banyak.

MUHAMMAD Shamsuddin (kiri) menunjukkan sebahagian wang mangsa samun di FELDA Bukit Besar, ketika sidang media di pejabatnya, semalam

MUHAMMAD Shamsuddin (kiri) menunjukkan sebahagian wang mangsa samun di FELDA Bukit Besar, ketika sidang media di pejabatnya, semalam

Kegiatan jenayah yang didalangi tiga suspek terbabit terbongkar susulan siasatan Polis Kota Tinggi terhadap kejadian samun seorang warga emas berusia 76 tahun, ketika mangsa keluar bersama suri rumah itu ke pasar malam, malam kelmarin.

Dalam kejadian samun di Kilometer 38, Jalan Kota Tinggi-Kluang pada jam 7.45 malam kelmarin, mangsa kerugian lebih RM10,000 termasuk wang tunai RM7,600 serta barang kemas dipakainya akibat disamun dua lelaki, ketika suri rumah itu berhenti di tepi jalan selepas mendakwa kereta dipandunya rosak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohammad Shamsuddin, berkata selepas kejadian itu, warga emas terbabit bersama suri rumah itu membuat laporan polis.

“Hasil siasatan, polis mendapati suspek hanya mengenali mangsa sejak dua hari lalu sebelum mengajak warga emas itu keluar bersamanya ke pasar malam.
“Ketika perjalanan pulang ke rumah, suri rumah terbabit memilih laluan lebih jauh ke rumah mereka. Ketika tiba di tempat kejadian, suspek mendakwa keretanya rosak sebelum memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.

Mereka kemudian dihampiri dua lelaki bersenjatakan batang besi sebelum memaksa mangsa menyerahkan wang tunai yang dibawa serta rantai leher serta dua cincin yang dipakai, manakala suri rumah itu tidak disamun, katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, semalam.

Muhammad berkata, polis mula mencurigai suri rumah terbabit kerana dua wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan persaudaraan kecuali baru berkenalan.

Selepas siasatan, suri rumah mengandung lima bulan itu mengaku bersubahat dengan anak saudara dan rakannya yang tinggal bersama bagi menyamun mangsa. Siasatan mendapati, dua suspek lelaki berusia 18 tahun itu masih menuntut di sebuah pusat kemahiran dekat FELDA Bukit Besar.

Polis menyerbu rumah suspek pagi ini (semalam) dan menahan dua suspek lelaki itu sebelum menemui semula wang tunai RM7,300 dan semua barang kemas yang disamun, termasuk sebahagian wang tunai RM5,000 ditanam dalam lubang di sebuah ladang sawit 100 meter dari rumah suspek,” katanya.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari mulai semalam sehingga 23 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 109, 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

-Berita Harian

Facebook Comments

Comments are closed.

Close