Rumah Dirompak Kali ke-8 Serta Dibakar

Rumah teres dua tingkat milik seorang kakita­ngan syarikat swasta yang pernah dirompak tujuh kali sebelum ini, semalam dirompak lagi dan turut dibakar penjenayah, dipercayai untuk menghilangkan bukti.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.28 pagi di Jalan 4/4c, Bandar Tasik Kesuma, Semenyih itu, pemilik rumah, Esah Ahmad, 57, dan suaminya tiada di kediaman mereka kerana ke rumah saudara di Kampung Pandan, Cheras.



Esah ketika ditemui berkata, dia hanya mengetahui kejadian selepas penggera kamera litar tertutup (CCTV), premis yang dihubungkan dengan telefon bimbitnya berbunyi.

“Saya dan suami sudah syak, mungkin ada perkara tidak baik berlaku dan cuba buat panggilan ke rumah, tapi talian tidak berfungsi kerana perompak memotong wayar telefon serta CCTV.
“Saya dan suami bergegas pulang dan tiba di rumah kira-kira 30 minit kemudian. Apabila tiba, bahagian atas rumah sudah terbakar.

“Kami hubungi bomba dan pada masa yang sama cuba masuk ke dalam rumah untuk mengambil barangan penting untuk diselamatkan. Pita rakaman CCTV juga gagal diselamatkan kerana perompak membakar bilik tidur kami dan api turut merebak ke bilik serta bahagian lain dalam rumah,” katanya semalam.

Menurutnya, terdapat sembilan CCTV diletakkan di bahagian depan, belakang serta sisi rumah.

Esah berkata, perompak dipercayai menggunakan tangga belakang rumah untuk memanjat ke baha­gian bumbung dan memecah masuk ke dalam premis.

“Sebelum ini rumah kami pernah dirompak tujuh kali dan yang terkahir pada 2009. Bagaimanapun saya tak sangka, perompak sanggup membakar rumah selepas merompak untuk kali ke lapan semalam.

“Saya dan suami lega kerana tiada kemalangan jiwa berlaku, namun sedih kerana rumah kami musnah. Laporan polis dibuat kira-kira 11 pagi semalam,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama suami sejak 12 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab ketika dihubu­ngi semalam, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close