Pesawah Seluruh Negara Terima Insentif Hasil Padi

Seramai 73,291 pesawah di seluruh negara akan menerima bayaran tunggakan Insentif Peningkatan Hasil Padi sejak 2007 hingga kini berjumlah RM110 juta secara berperingkat mulai awal bulan depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, buat permulaan 1,000 pesawah di Selangor akan menerima bayaran tersebut mulai 4 Disember ini yang dibuat secara tiga peringkat.

“Insentif ini untuk pesawah yang berjaya meningkatkan hasil padi mereka dari 2007 hingga 2011. Kita lambat bayar kerana perlu mengenal pasti jumlah sebenar. Ini kerana padi yang dihasilkan kadang-kadang melebihi apa yang disasarkan untuk tahun tersebut, jadi jumlah insentif itu akan ikut berubah mengikut produktiviti.

“Tidak timbul isu yang dimainkan pembangkang kononnya kita melesapkan duit, pembangkang tidak faham sebenarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran projek penanaman nanas MD2 di Ladang Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abd. Aziz Kaprawi dan Presiden yang juga Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru menyatakan kementerian tersebut masih belum membayar RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah di bawah insentif itu sejak 2007.

Noh berkata, mengikut insentif itu, peningkatan hasil padi melebihi satu tan metrik melayakkan pesawah menerima RM650 manakala bagi 10 tan metrik, tambahan RM300 diberikan.

Sementara itu, pihaknya masih belum mengenal pasti jumlah kerugian kawasan pertanian yang musnah akibat banjir di Kelantan dan Terengganu.

Namun, pihak Jabatan Pertanian akan turun padang apabila banjir surut untuk mengenal pasti jumlah kerugian sebelum laporan dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close