Pegawai Kerajaan Diminta Hadkan Penggunaan BBM

Pegawai kerajaan yang menggunakan telefon pintar BlackBerry dinasihatkan mengehadkan penggunaan kemudahan BlackBerry Messenger (BBM) kepada komunikasi yang tidak sensitif atau bukan rahsia kerajaan.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Jospeh Salang Gandum, berkata ia perlu diamalkan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menjamin keselamatan data dan maklumat negara.

Maklumat yang disalurkan melalui sistem BlackBerry adalah melalui kaedah penyulitan dengan tahap keselamatan pemindahan dan penyimpanan maklumat pengguna adalah tinggi dan tidak memungkinkan ia diakses dengan mudah oleh mana-mana pihak.


Bagaimanapun, setiap sistem komunikasi mempunyai kelemahan dan tidak dapat menjamin kerahsiaan sepenuhnya, katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) di Dewan Rakyat semalam yang bertanya mengenai tahap keselamatan data dan maklumat terutama pengguna BlackBerry dan agensi yang mengawasinya.

Joseph Salang berkata, syarikat pengendali perkhidmatan BlackBerry, Research In Motion (RIM) tidak akan mendedahkan data dan maklumat yang dihantar melalui BBM sewenang-wenangnya, namun RIM bersedia memberikannya jika diminta oleh kerajaan seperti di India dan Arab Saudi baru-baru ini bagi tujuan keselamatan negara.

Menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang bertanya mengapa cakera parabola masih tidak dibenarkan penggunaannya, Joseph Salang berkata, penggunaan untuk orang awam bagi tujuan penerimaan siaran televisyen luar negara boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan kerajaan sukar memastikan kandungan siaran itu memenuhi Akta Penapisan Filem 2002, Kod Kandungan serta Arahan dan Garis Panduan berkaitan.

Cakera parabola hanya digunakan secara meluas untuk perkhidmatan data jalur lebar di kawasan pedalaman dan tidak dihubungi perkhidmatan talian tetap, pendidikan jarak jauh dan penggunaan korporat bagi acara tertentu, katanya.

-Berita harian

Facebook Comments

Comments are closed.

Close