Parah Disondol Babi Hutan

Seorang tukang kebun cedera parah selepas disondol seekor babi hutan seberat 60 kilogram semasa lelaki itu menyuluh untuk mengetahui ‘bunyi’ bising di belakang rumahnya di Kampung Pokok Asam Lama, Bukit Jenun, di sini awal pagi ini.

Berikutan kejadian pukul 1.15 pagi itu, dada mangsa, Nordin Said, 51, terkoyak sedalam empat inci (10 sentimeter) dan tidak sedarkan diri di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

KEADAAN Nordin yang cedera akibat diserang babi hutan dan dirawat di HSAH, Alor Setar semalam.

Semasa kejadian, Nordin sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi bising haiwan yang disangka kambing memijak atap zink lama di halaman rumahnya lalu keluar menyuluh dengan lampu.

Menurut adik mangsa, Jaafar Said, 37, tiba-tiba babi itu menyondol abangnya sehingga taring haiwan berkenaan tercucuk dada dan kepala mangsa.

“Saya yang tidur di rumah sebelah, menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan isteri mangsa.

“Saya terus keluar membantu dan menghalau haiwan itu tetapi tidak terdaya. Babi itu terus menyondol dan bergelut selama lebih 20 minit.

“Sehinggalah saya terfikir dan membaling besi menyebabkan haiwan itu beredar ke kawasan semak-samun,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Jaafar berkata, dia kemudian menghantar Nordin ke Hospital Yan, pukul 2 pagi untuk rawatan tetapi keadaannya bertambah serius dan tidak sedarkan diri.

“Doktor mengambil keputusan memindahkan mangsa ke HSAH kira-kira pukul 4 pagi,” jelasnya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close