Guru Piano Dirogol & Bunuh

Kehilangan seorang guru piano yang tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam Perodua Myvi miliknya dengan kesan jerutan di leher serta tangan diikat di belakang badan di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling di sini, semalam.

Ketika ditemui, mangsa masih memakai baju-T putih, jaket perang serta skirt paras lutut dengan seluar dalamnya terlondeh dipercayai dirogol sebelum dibunuh di tempat lain. Mayatnya kemudian diletakkan dalam kereta berkenaan.

kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam

kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam

Mayat mangsa, Chiu Kong Min, 31, ditemui kira-kira tujuh jam selepas bapanya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa mulanya disangkakan tidur dalam kereta berkenaan dan cuba dikejutkan seorang individu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Bagaimanapun, selepas mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didapati sudah tidak bernyawa, individu terbabit segera melaporkan kejadian itu kepada polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak berkata, sebaik menerima panggilan orang ramai, pihaknya bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan.

Menurutnya, polis kemudian menemui wanita itu tertunduk kaku dalam kereta miliknya dan siasatan mendapati mangsa dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 2.30 petang kelmarin untuk mengajar di Jalan Simbang, Taman Perling, menaiki Perodua Myvi hijau berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar untuk mengajar piano seperti biasa, namun sehingga jam 12.30 tengah malam kelmarin, masih tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya yang bimbangkan keselamatannya membuat laporan polis.

“Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mangsa cedera ringan di kening kiri, kesan calar pada jari kedua-dua tangan selain luka di tangan dipercayai akibat bergelut dengan penyerangnya.

“Selain itu, ketika ditemui, kedua-dua tangannya diikat menggunakan kabel pengikat dan ada kesan jerutan di leher, namun barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit tidak diambil suspek,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan hingga kini, polis masih tidak menemui sebarang bukti di kawasan sekitar lokasi penemuan mangsa serta dalam keretanya.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Tan Yang Siong di talian 012-7076928,” katanya.

– Metro

Facebook Comments

Comments are closed.

Close