Doktor Peribadi Michael Jackson Bersalah

Doktor peribadi Michael Jackson hari ini didapati bersalah atas kesalahan membunuh tanpa niat Raja Pop itu pada tahun 2009.

Dr. Conrad Murray, 58, dibawa keluar dari mahkamah dengan tangan bergari selepas juri di Los Angeles mencapai keputusan tersebut sebulat suara.

Berpuluh-puluh peminat Jackson yang berada di luar bangunan mahkamah bersorak setelah mendengar keputusan tersebut malah ada yang menangis.

“Keadilan telah terlaksana. Michael ada bersama kami,” kata abang kepada Jackson, Jermaine.


Murray berdepan dengan hukuman penjara sehingga empat tahun bermula 29 November ini tetapi hanya akan dipenjarakan di sel yang sesak di Los Angeles selama beberapa bulan sahaja.

Murray mengaku tidak bersalah memberi penyanyi lagu Thriller itu ubat anestetik propofol yang kuat, ubat yang selalunya digunakan dalam pembedahan dan ia dikatakan punca utama kematian penyanyi itu pada usia 50 tahun.

Pihak pendakwa raya mempertikaikan kecuaian Murray dalam memberi propofol kepada Jackson bagi membantunya tidur.

Hakim mengarahkan Murray yang bebas dengan ikat jamin selama dua tahun ditahan sehingga hukumannya dimulakan.

Doktor itu tidak memberi keterangan selama enam bulan perbicaraan itu berlangsung dan tidak menunjukkan sebarang emosi ketika keputusan hukumannya diumumkan.

Ibu Jackson, Katherine dan kakaknya, Rebbie menangis ketika hukuman itu diperdengarkan. Ahli keluarganya yang lain termasuk adik-beradiknya, La Toya dan Randy termasuk bapanya, Joseph, turut berada di dalam mahkamah tersebut.

– Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *