Dera & Tanam Anak Kekasih Di Taman Kwang Tong

Perbuatan kejam seorang lelaki mendera anak teman wanitanya berusia dua tahun sehingga mati sebelum menanam mayatnya di belakang rumah sewa mereka, empat bulan lalu, terbongkar apabila wanita itu melaporkannya kepada polis.

Dalam kejadian di Taman Kuang Tong di sini, Julai lalu, suspek bertindak demikian bertujuan menghapuskan bukti kekejaman yang dilakukan terhadap mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, rangka kanak-kanak malang itu ditemui pada Sabtu lalu iaitu kira-kira empat bulan selepas mayatnya ditanam.

ANGGOTA polis mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemui ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Kwang Tong, Seremban baru-baru ini.


Katanya, ibu mangsa tidak mampu menghalang perlakuan teman lelakinya selepas diugut malah dia juga dikurung di dalam rumah berkenaan.

“Namun segalanya terbongkar selepas wanita itu berjaya melarikan diri dari rumah tersebut, Jumaat lalu, sebelum membuat laporan polis.

“Bertindak hasil laporan itu, polis menyerbu rumah terbabit sebelum menemui rangka kanak-kanak di dalam lubang sedalam dua kaki (0.6 meter) di belakang rumah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Osman memberitahu namun ketika serbuan, suspek Khalid Redza Shuaib, 30, yang beralamat terakhir di No. 98, Taman Kwang Tong Off Jalan Cambell, telah melarikan diri.

Menurutnya, pasangan berkenaan menyewa di rumah itu sejak beberapa bulan lalu dan wanita itu mendakwa anaknya sering didera lelaki terbabit.

“Pada 3 Julai lalu, wanita itu mendakwa anaknya tiba-tiba nazak selepas didera sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Panik dengan keadaan itu, suspek menanam mayat kanak-kanak tersebut di belakang rumah yang disewa mereka pada waktu tengah malam hari yang sama,” jelasnya.

Difahamkan, wanita itu tidak dapat meminta bantuan kerana dikurung di dalam rumah malah telefon bimbitnya juga dirampas oleh lelaki terbabit.

“Rangka kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat dan kita menunggu laporan bedah siasat berkenaan.

“Kita juga sedang mengesan teman lelaki wanita itu yang disyaki terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan dan mengesan di mana suspek berada diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close