Bob Kuman Berada Di Wad

Simpati Belalang kepada seorang pelawak dan juga salah seorang peserta Maharaja Lawak Mega (MLM), Bob Kuman, yang dikatakan masih berada di hospital gara-gara mengalami kepenatan selepas persembahan pembukaan MLM minggu lepas.

Awalnya, Bob juga dikatakan mengalami masalah kesihatan sebelum bermula rancangan MLM. Namun Bob tetap meneruskan persembahan pada malam tersebut bersama rakan sekumpulannga iaitu Sobri.



Di bawah adalah sedikit petikan mengenai kesihatan Bob yang Belalang petik dari Mstar-

Pelakon Husni Rawi, 39, atau nama gelarannya, Bob (Kuman) kini ditahan di Pusat Perubatan Tropicana sejak Jumaat malam lalu akibat kepenatan.

Menurutnya, kesihatannya terjejas akibat terlalu penat sejak minggu lalu semasa membuat persiapan untuk menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) terbitan Astro.

Bagaimanapun, dia tetap menggagahkan diri untuk menyertai program tersebut pada Jumaat malam lalu sebelum membuat pemeriksaan doktor selepas program itu berakhir.

“Doktor menyarankan saya supaya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan yang dilakukan.

“Pada mulanya saya ingat penat biasa dan tidak sangka sehingga perlu ditahan di hospital sehingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Disebabkan itu, Bob dan pasangannya dalam MLM, Sobri yang menubuhkan kumpulan BP- Bawal Power terpaksa menjalani latihan untuk persembahan MLM minggu kedua di hospital.

“Saya kasihan dengan Sobri kerana terpaksa berulang-alik ke hospital setiap hari dan kadangkala perlu bermalam di sini untuk menghasilkan persembahan terbaik pada minggu ini.

“Kami agak tertekan sedikit untuk melakukan persembahan yang lebih bagus pada minggu ini kerana persembahan kami mendapat pujian daripada ramai penonton pada minggu lalu,” ujar Bob yang mengakui menghadapi masalah untuk tidur.

Walaupun masih berada di bawah rawatan dan pemerhatian pihak hospital, Bob dibenarkan membuat persembahan MLM di Royal Theater Selangor, Shah Alam pada Jumaat ini, pukul 10 malam, yang disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132).

“Nasib baik doktor benarkan saya membuat persembahan pada Jumaat ini tetapi saya perlu membawa jururawat yang bertugas bersama-sama,” ujarnya.

Sebelum ini, Bob mempunyai masalah berat badan yang berlebihan iaitu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain mengakibatkan komplikasi buah pinggang.

Bob mempunyai bakat semulajadi menghiburkan penonton. Belalang juga sangat minat melihat apa sahaja filem atau racangan lakonan Bob. Semoga kesihatan Bob akan bertambah baik dan dapat meneruskan perjuangan bersaing dalam rancangan MLM.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close