Anak Sembelih Ibu Lumpuh

Seorang lelaki dipercayai menghidap penyakit mental ditahan kerana dipercayai membunuh ibu kandungnya dengan mengelar leher mangsa di kediaman mereka di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang dekat sini hari ini.

Suspek yang berusia 35 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan turut cedera parah kerana cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya dengan pisau.

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital, semalam.

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dibawa ke hospital, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, suspek dipercayai bertindak mengelar leher ibunya yang berusia 75 tahun dan lumpuh dengan sebilah pisau ketika wanita itu terbaring seorang diri di ruang tamu rumah kira-kira pukul 10.45 pagi.

“Cemas selepas melihat ibunya berlumuran darah, suspek dikatakan menggunakan pisau yang sama untuk mengelar lehernya sendiri tetapi berjaya dihalang oleh kakaknya yang kebetulan datang untuk menjenguk ibunya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Menurut Abd. Razak, siasatan yang dibuat mendapati tiada kesan pergelutan dan polis turut menemui pisau yang digunakan oleh lelaki tersebut.

Katanya, suspek mempunyai rekod masalah mental di Hospital Serdang dan tinggal berdua bersama ibunya.

Suspek yang tidak bekerja dikatakan pernah cuba membunuh diri pada 25 September lalu.

Abd. Razak berkata, suspek yang kini kritikal dirawat di Hospital Serdang dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close