Akhbar The Western Australian Silap Laporan Anak Najib Berbelanja RM195,000

Akhbar Australia, The Western Australian, kelmarin mengakui membuat kesilapan berhubung laporannya Isnin lalu yang mendakwa anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membelanjakan A$60,000 (RM195,000) ketika membeli-belah di negara itu.

Kenyataan di bawah tajuk ‘Corrections & Clarifications’ (Pembetulan dan Penjelasan) itu, disiarkan di ruangan surat pada muka 24, akhbar berkenaan.

“Merujuk laporan akhbar ini Isnin lalu berhubung aktiviti membeli-belah dan bersiar-siar oleh delegasi mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, ada dakwaan bahawa anak perempuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, membelanjakan A$60,000 (RM195,000) ketika membeli-belah di David Jones (gedung beli-belah).


“Akhbar ini ingin mengakui perkara itu tidak berlaku dan anak perempuan Najib tidak berada di Perth pada masa itu,” kata kenyataan itu.

Malah di bawah kenyataan itu, tertera polisi akhbar itu yang ia akan membuat pembetulan sebarang kesilapan besar dengan secepat mungkin.

Dalam laporannya sebelum ini, akhbar Australia itu melaporkan peniaga membuat untung besar apabila seorang Wanita Pertama yang tidak dinamakan, membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala ‘anak gadis Najib’ membelanjakan A$60,000.

Laporan itu memetik Pengarah Negeri bagi CHOGM, Richard Muirhead sebagai berkata, aktiviti masa lapang dan membeli-belah diatur untuk perwakilan asing di luar jadual ketat mesyuarat CHOGM itu.

Laporan bertajuk ‘Perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar’ kemudian dipetik dan disiarkan beberapa portal berita dan laman sosial di negara ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, menerusi Twitternya, menafikan laporan yang mengaitkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya itu.

Malah Najib yang kini mengerjakan ibadat haji di Makkah, meminta orang ramai tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan berkenaan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close