Watak Aaron Aziz Dalam Filem Hollywood ‘Prince Of The City’

PELAKON popular, Aaron Aziz, 35, mengesahkan pembabitannya dalam filem Hollywood berjudul Prince Of The City arahan Roslan Hussin.

Filem itu sudah memulakan penggambaran di Sungai Penchala, Selangor.

Menurut Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, dia membawa watak seorang pembunuh upahan dalam filem itu.

“Dalam filem ini, saya berlakon bersama, Michael Madsen sebagai pembunuh upahannya untuk membalas dendam terhadap watak yang dilakonkan oleh Jehan Miskin,” kata pelakon drama Jiwa & Lara yang kini sedang ditayangkan di TV3 dalam slot Samarinda pukul 10.30 malam.

Michael Madsen sebelum ini pernah berlakon dalam filem Outrage, Eldorado selain terlibat dalam drama bersiri 24 serta (Crime Scene Investigator) CSI: Miami.

Selain Aaron, filem itu turut menggandingkannya dengan pelakon Tara Wallers, Yang Kassim dan Jehan Miskin.

Filem yang bakal menjalani penggambaran selama 16 hari di Malaysia itu menggunakan sepenuhnya dialog dalam bahasa Inggeris.

“Ini filem pertama saya dalam bahasa Inggeris, sebelum ini saya sudah banyak berlakon dalam drama Inggeris sejak di Singapura lagi.

“Sasaran tayangan filem ini di luar negara, tapi saya difahamkan jika filem ini masuk ke pasaran tempatan, kemungkinan akan melalui proses alih suara,” ujarnya berkenaan filem yang diterbitkan Axis Entertainment itu.

Menerima pelawaan untuk berlakon dalam filem bertaraf antarabangsa ujar Aaron bukan kerana duit, namun dia melihat dalam skop yang lebih luas.

“Saya ingin menimba pengalaman berlakon dalam filem Hollywood, mencari apa kelebihan mereka dan mungkin tidak ada pada kita.

“Lagipun, kalau mereka (Hollywood) boleh terima kita, mengapa perlu kita menolak untuk berlakon dengan produksi mereka,” tuturnya yang ditemui selepas majlis prapelancaran dan sidang akhbar Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buka produksi

Ditanya mengenai pembabitannya dalam APEC YES 2011, Aaron menjawab pelantikannya sebagai duta hanya sekadar tanda sokongannya kepada perkembangan usahawan muda masa kini.

“Belum ada apa-apa perancangan untuk saya menceburi bidang bisnes buat masa sekarang, tapi jika diberikan peluang satu hari nanti ingin juga saya mencuba bidang pengiklanan dan produksi, itulah passion saya,” katanya yang belum punyai sebarang idea untuk mengeluarkan sebarang produk.

Sesungguhnya, minat mendalam diperlukan untuk menceburi bidang perniagaan kerana bimbang sesuatu yang diceburinya tidak menjadi.

“Untuk berniaga perlu minat, tidak adil untuk dapatkan geran tapi tidak melaksanakannya dengan berhemah,” ujarnya lagi.

Incoming search terms:

  • aaron aziz berlakon filem hollywood (1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close