Wanita Sorok Anak Dalam Tangki Air Tandas Masih Ditahan

Polis masih menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes bayi masih hidup ditemui dalam tangki air pam tandas di sebuah rumah sewa di Kemaman awal pagi Jumaat lalu.

Suspek yang dipercayai ibu kepada bayi itu perlu ditahan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika ini, polis memerlukan masa untuk menyoal siasat wanita berusia 23 tahun itu berikutan keadaannya yang masih lemah.

“Kita akan menunggu masa yang sesuai sebelum membuat soal siasat terhadap wanita berkenaan berhubung kes itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai penemuan seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dua jam dalam tangki air pam tandas sebuah rumah sewa di Kemaman kira-kira pukul 3 pagi pada Jumaat lalu.

Bayi yang masih hidup serta bertali pusat itu dijumpai oleh rakan sebilik suspek.

Difahamkan, bayi itu kini stabil dan mungkin akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk dipelihara.

– Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close