Tiga Sahabat Maut Kemalangan

ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Batu 16 1/2 Sungai Tiram, Ulu Tiram, pagi semalam.

ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Batu 16 1/2 Sungai Tiram, Ulu Tiram, pagi semalam.

Kegembiraan tiga sahabat yang baru sehari bekerja di tempat baru berakhir tragedi apabila kereta dinaiki bertembung sebuah lori pasir menyebabkan mereka terbunuh dalam kemalangan di Jalan Batu 16 1/2 Sungai Tiram, dekat sini, pagi semalam.

Mohamad Faiz Ahmad Tahir, 18; Mohamad Khairuddun Karimi, 21, dan Mohamad Nazri Zulkifly, 20, maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada jam 9.20 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kereta Proton Wira dipandu Mohamad Faiz dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa yang baru sehari bekerja di sebuah kilang dekat Taman Desa Cemerlang, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Sungai Tiram.

Dalam perjalanan pulang, kereta mereka bertembung sebuah lori pasir dari arah bertentangan menyebabkan ketiga-tiga mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah, katanya.

Beliau berkata, pemandu lori hanya cedera ringan, manakala mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, adik Mohamad Nazri, Mohamad Faiz Zulkifly, 17, yang ditemui di HSI, tidak menyangka abangnya yang gembira bekerja di tempat baru, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri itu.

Abang Nazri seorang yang pendiam dan ramah. Sebelum ini dia bekerja di bengkel berhampiran rumah dan dia gembira bekerja di tempat baru bersama dua rakan karibnya itu, katanya.

Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam). Saya tidak sangka abang Nazri sudah tiada, katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close