Sindiket Kad Kredit Palsu Terbesar Negara Tumpas

Tajuddin Md. Isa (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian kad kredit palsu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

Polis berjaya menumpaskan sindiket membuat kad kredit palsu terbesar di negara ini dengan menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 3,246 keping kad kredit dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Puteri, Pelabuhan Klang, dekat sini semalam.

Dalam serbuan pukul 6.30 petang yang dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejak lima bulan lalu itu turut membongkar kegiatan sebuah syarikat yang berdaftar sebagai pembuat kad komersial dalam jenayah itu.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan pemilik premis itu yang berusia 44 tahun dan pekerjanya berumur 21 tahun.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui ribuan kad kredit pelbagai bank tempatan dan luar negara yang dibuat menggunakan mesin berteknologi moden.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket itu bertanggungjawab membuat kad kredit termasuk meletakkan cip sebelum ia dijual kepada sindiket tempatan dan Eropah yang kemudian akan memasukkan palsu pengguna sebelum digunakan.

“Setiap keping kad kredit dijual serendah RM15 secara pukal kepada sindiket tertentu dan kad-kad tersebut dihantar melalui khidmat kurier kepada pembeli yang membayar wang pendahuluan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Bukit Perdana di sini, hari ini.

Tajuddin memberitahu, hasil serbuan tersebut JSJK turut merampas 11 jenis mesin yang digunakan oleh sindiket berkenaan untuk menghasil kad-kad kredit yang keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

Beliau berkata, syarikat tersebut beroperasi sejak tujuh tahun lalu, namun mula membuat kad kredit palsu sejak lima bulan lalu.

Tambahnya, sindiket itu dikesan menghasilkan 50,000 keping kad kredit palsu setiap bulan untuk dijual kepada sindiket dalam dan luar negara.

Berikutan itu, katanya, JSJK akan bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan sindiket di Eropah yang membeli kad kredit itu untuk memasukkan data palsu.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close