Simpanan KWSP Atas RM3,000 Perlu Namakan Pewaris

Semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan perlu menamakan waris kepada simpanan mereka.

KWSP berkata tanpa penamaan, keluarga atau waris terdekat pencarum yang meninggal dunia terpaksa melalui proses yang sukar dan memakan masa untuk menuntut simpanan ahli.

“Ahli yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan KWSP dan belum membuat penamaan waris harus menyahut seruan ini dengan segera. Amaun ini cukup besar untuk disalurkan kepada tanggungan mereka,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya proses penamaan waris hanya mengambil masa beberapa minit sahaja di mana ahli hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 dan menyerahkan kepada cawangan KWSP terdekat.

Menurutnya penamaan KWSP akan mengatasi wasiat bertulis dan bagi ahli beragama Islam yang mempunyai penamaan, penama akan bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpnanan itu mengikut Hukum Faraid.

Nik Affendi berkata tanpa penamaan, keluarga atau waris terdekat perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir, Sijil Probet atau Perintah Pembahagian dari pihak berkuasa bagi menyokong tuntutan simpanan ahli yang meninggal dunia.

“Langkah itu perlu bagi mengelak penipuan pengeluaran dan memastikan simpanan ahli diberi kepada mereka yang benar-benar berhak,” katanya.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close