Seorang Parah & Dua Mayat Ditemui Dipercayai Mangsa Samun

Tiga pekerja lelaki warga Pakistan yang ditemui dirompak dan dicampak ke bawah sebuah jambatan di Gerik, petang semalam, dipercayai disamun di Butterworth, Pulau Pinang, sebelum dibawa ke lokasi kejadian dibunuh.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya mengesahkan ketiga-tiga mangsa itu dipukul dan ditetak oleh sekumpulan penjenayah bertujuan mahu melupuskan bukti.

“Kami juga masih gagal mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa dan buat masa ini, salah seorang yang terselamat itu masih dirawat di Hospital Gerik untuk rawatan lanjut kerana kakinya patah selain mengalami kecederaan teruk akibat ditetak di dahi,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, ketiga-tiga pekerja itu ditemui di bawah Jambatan Kenderong di Kilometer 8.9 Jalan Gerik- Kupang.

Dua daripada mangsa pecah kepala akibat terhentak dengan batu sungai selepas dicampak manakala seorang lagi terselamat namun tidak bermaya selain cedera parah. Ketiga-tiga mangsa ditemui di dasar jambatan setinggi 40 meter itu oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui lokasi kejadian untuk mencari pucuk paku.

Ketika ditemui, mangsa yang terselamat berusia 31 tahun ditemui dalam keadaan parah dengan kesan lebam di seluruh tubuh serta luka sedalam 2.5 sentimeter di bahagian dahi dipercayai kesan tetakan parang. Dua mangsa dipercayai meninggal dunia sejak empat hari lalu kerana mayat sudah bertukar menjadi hitam dan bengkak serta berulat ketika diangkat anggota polis.

Mohd Shukri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian, tetapi tidak menolak kes itu berunsurkan jenayah kerana kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa.

“Siasatan turut mendapati ketiga-tiga mangsa berdaftar dengan sebuah agensi pekerjaan di Klang, Selangor. Ketiga-tiga mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan seorang lelaki dikenali sebagai Rana,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close