Rompakan RM400 Ribu Di Stesen Minyak Bukit Jelutong

Tiga lelaki, dua daripadanya menyamar dengan memakai pakaian kakitangan syarikat keselamatan melarikan wang tunai kira-kira RM400,000 dari sebuah stesen minyak di Bukit Jelutong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata ketika kejadian, dua kakitangan sebuah syarikat keselamatan membawa wang untuk dimasukkan ke dalam mesin wang automatik (ATM) di stesen minyak itu kira-kira 12 tengah hari.

“Kereta dinaiki ketiga-tiga suspek berhenti berdekatan dengan stesen minyak itu. Sebaik kakitangan syarikat keselamatan keluar dari van, dua daripada suspek mengheret mereka masuk ke dalam kereta mereka bersama-sama wang kira-kira RM400,000 dan pistol milik syarikat itu.

“Kedua-dua pengawal keselamatan itu kemudian ditinggalkan di tepi jalanberdekatan. Mereka yang tidak mengalami kecederaan kemudian membuat laporan polis kira-kira 1.20 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Difahamkan, polis masih mencari kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu berikutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak berkenaan tidak jelas.

Khamis lepas, kejadian hampir sama berlaku di sebuah stesen minyak di Ijok, Kuala Selangor apabila lima lelaki termasuk seorang rakyat Afrika merompak sebuah van keselamatan yang membawa wang kira-kira RM2.2 juta.

Berikutan itu, polis menahan empat pekerja syarikat kawalan keselamatan terbabit yang berusia antara 19 dan 30 tahun, kira-kira pukul 2.30 petang hari yang sama bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close