Nama Ahli Keluarga Pembangkang Yang Diberikan Kerakyatan

Senarai ahli keluarga pemimpin pembangkang yang diluluskan permohonan untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia akan didedahkan dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, senarai itu bakal didedahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya bagi menangkis tohmahan pembangkang kononnya pemberian kewarganegaraan dilakukan berasaskan kepentingan politik kerajaan.

“Senarai yang didedahkan bakal membuktikan kerajaan tidak ‘pilih bulu’ dengan memberi kewarganegaraan kepada mereka yang layak menerusi prosedur yang ketat demi faktor keselamatan dan bukannya kepentingan politik,” katanya selepas melancarkan Pengeluaran MyKad 1 Hari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, kementerian mempunyai fakta dan bukti mencukupi untuk menyokong pendedahan tersebut bagi mengelakkan fitnah yang sering dilemparkan bertujuan memperlekehkan kerajaan, menyerap masuk ke dalam fikiran rakyat.

Menurutnya, baru-baru ini pembangkang ‘membisu’ selepas tohmahan kononnya kerajaan memberi ramai warga Bangladesh taraf kewarganegaraan untuk kepentingan politik dibuktikan tidak benar.

“Mereka akhirnya berdiam diri apabila siasatan mendapati dalam tempoh tujuh tahun, hanya 30 warga Bangladesh dapat kewarganegaraan. Daripada jumlah itu, 17 orang sahaja boleh mengundi dan yang memohon berbuat demikian hanya empat orang,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close