Nahas di NKVE | 3 Maut & 5 Parah Warga Nepal Baru Tiba

Hasrat tiga wanita warga Nepal untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kemalangan, tidak sampai dua jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.

Kejadian di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang itu berlaku pukul 3 petang ketika mereka bersama 16 pekerja warga Nepal dalam perjalanan ke sebuah kilang di Meru, Klang untuk melapor diri dengan menaiki dua buah van.

JALAN sesak setelah berlaku kemalangan melibatkan dua buah van, sebuah kereta MyVi dan sebuah treler mengakibatkan tiga mati di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang menghala ke Klang, semalam.


Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, selain dua buah van tersebut, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan lori treler.

Nahas itu mengakibatkan lima yang lain termasuk seorang pemandu warga tempatan cedera parah.

“Ketiga-tiga wanita yang mati di tempat kejadian ialah Dil Kumari Shrestha, Kamaladevi Gurigai dan Dil Maya Gurung berusia antara 25 hingga 30 tahun.

“Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Lima mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ruslan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.10 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Punca kemalangan masih disiasat dan pihak polis perlu mengambil masa menyiasat kemalangan tersebut dengan lebih terperinci,” jelasnya.

-Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close