Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Berua Dijangkiti Virus Kencing Tikus

Tujuh murid perempuan dan empat murid lelaki Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dimasukkan ke hospital akibat virus air kencing tikus.

Selain kesemua 11 murid tahun satu hingga lima itu, 16 orang lagi penduduk Orang Asli kawasan berkenaan turut dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan Hospital Hulu Terengganu setelah terkena virus Leptospirosis itu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada penggunaan air sungai di Sungai Berua berhampiran sekolah itu yang berkemungkinan dicemari air kencing tikus.

Kesemua mereka dimasukkan ke wad di dua hospital berkenaan secara berperingkat bermula 10 Oktober lalu sebelum dibenarkan pulang semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Razali Daud ketika mengesahkan perkara itu berkata, berikutan kejadian itu, sekolah berkenaan telah diarah dikuarantinkan pada hari pertama virus itu dikesan.

Beliau memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dan daerah turut mengadakan gotong-royong bagi mengawal wabak berkenaan daripada menular.

“Buat masa ini, kesemua murid dan penduduk yang terkena virus air kencing tikus di Sungai Berua sudah dibenarkan pulang dan keadaan setakat ini adalah terkawal,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas menyempurnakan program Pengarah Pelajaran Terengganu Bersama Warga Orang Asli Negeri Terengganu di pekarangan JPNT, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Sungai Berua, Marzilaini Muhammad ketika ditemui meminta penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan khususnya ibu bapa murid jangan khuatir kerana keadaan adalah terkawal.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan pemantauan dengan kerjasama pihak-pihak bertanggungjawab termasuk Jabatan Kesihatan bagi memastikan wabak itu dicegah dan dikawal.

“Kesemua 11 murid kita (SK Sungai Berua) bertambah pulih dan mereka telah dibenarkan pulang, tapi kita masih berwaspada bagi memastikan tiada murid lain turut terkena virus berbahaya ini,” ujarnya.

Katanya, kini terdapat seramai 109 murid Orang Asli yang menduduki tahun satu hingga lima di SK Sungai Berua dan kawasan itu didiami 384 Orang Asli membabitkan 88 buah keluarga.

– Utusan

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • tanda tanda keracunan kencing tikus (18)

Comments are closed.

Close