Motosikal Meletup Terbabas Ketika Kejar Pencuri

Seorang penunggang motosikal nyaris maut semasa cuba mengejar seorang penjenayah yang melarikan kereta seorang wanita ketika berhenti mengisi minyak di Sunway Mentari, Petaling Jaya dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12 tengah malam itu, mangsa bersama beberapa lagi orang awam yang menyaksikan kejadian cuba mengejar suspek dari stesen minyak berkenaan sehingga ke Lebuh Raya Persekutuan.

Sumber berkata, suspek melarikan kereta Toyota Caldina milik wanita terbabit ketika mangsa berhenti mengisi minyak tanpa mematikan enjin.

“Penjenayah mengambil kesempatan melarikan kereta itu apabila melihat wanita terbabit meninggalkan kenderaannya tanpa mematikan enjin semasa membuat pembayaran di kaunter.

“Mangsa yang terkejut melihat keretanya dilarikan terus menjerit meminta tolong dan jeritannya didengari oleh penunggang motosikal terbabit serta beberapa lagi pelanggan lain di stesen minyak berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, orang ramai yang berada di situ kemudian masing-masing menunggang motosikal cuba mengejar suspek yang dilihat melarikan diri ke arah Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

Beliau berkata, salah seorang daripada mereka bagaimanapun tidak bernasib baik apabila terbabas dan merempuh sebuah lagi motosikal lain sejurus tiba di hadapan bangunan akhbar Nanyang Siang Pau.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa berusia 31 tahun tercampak di atas jalan tetapi bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri sebelum motosikalnya terbakar dan meletup.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close