Ketua Polis Daerah Subang Jaya Meninggal Dunia

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid, 56, meninggal dunia di Hospital Asia Columbia, Kota Kemuning dekat sini, tengah hari tadi, dipercayai akibat sesak nafas dan serangan penyakit jantung.

Jurucakap hospital ketika dihubungi memberitahu, Allahyarham dikejarkan ke wad kecemasan hospital tersebut kira-kira jam 12.45 dan pemeriksaan mendapati Allahyarham disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital tersebut.

Bagaimanapun, jenazahnya kini dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sebelum itu, Allahyarham mengadu sakit dada ketika bermain golf bersama beberapa pegawai kanan polis di Bukit Kemuning Golf and Country Club.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau menerima maklumat berhubung kematian Rashid kira-kira jam 12.30 tengah hari dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Beliau berkata, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana, Puchong, dekat sini. – BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close