Kedutaan Malaysia Di Jakarta Terus Menjadi Sasaran Kumpulan demonstrasi

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus menjadi sasaran demonstrasi kumpulan penduduk Indonesia berhubung isu sempadan Malaysia-Indonesia dan hari ini pula dari kumpulan Laskar Merah Putih (LMP).

Kira-kira 70 anggota LMP yang berpakaian seragam celoreng mengadakan tunjuk perasaan selama satu setengah jam dengan membawa sepanduk dan berucap mengecam Malaysia, yang didakwa mengambil secara haram lebih 1,000 hektar tanah di Kalimantan Barat, yang bersempadan dengan Sarawak.

Anggota polis yang berkawal di depan bangunan kedutaan besar itu menghalang mereka daripada memasang bendera di pintu pagar dan menyekat kumpulan itu daripada mendekati pintu pagar.

Sebelum bersurai, kumpulan yang dipimpin oleh Adek Erfil Manurung itu menyerahkan nota pernyataan pendirian mereka kepada seorang kakitangan di pos pengawal kedutaan itu dan mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan satu lagi demonstrasi berskala besar di situ pada 28 Oktober ini.

Pernyataan itu antara lainnya meminta Kerajaan Malaysia menyelesaikan isu pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.

Isu sempadan itu ditimbulkan Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat, Tb Hasanuddin, hujung minggu lalu yang mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, kononnya diambil secara haram Malaysia.

Bagaimanapun, empat menteri Indonesia, termasuk Menteri Luar, Marty Natalegawa, dilaporkan menafikan dakwaan itu kerana ia tidak berasas.

Ini adalah hari kedua berturut-turut demonstrasi diadakan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia berkaitan isu itu, setelah kumpulan Forum Betawi Rempug (FBR) yang membawa anggota berjumlah 650 orang berbuat demikian semalam.

Demonstrasi semalam menjadi kecoh apabila apabila penunjuk perasaan melempar batu, kayu dan buluh ke dalam kawasan kedutaan besar itu kerana marah dihalang oleh pihak polis daripada memasang bendera FBR di pintu pagar bangunan pejabat kedutaan itu.

Perbuatan mereka mengakibatkan beberapa harta kedutaan rosak dan sembilan anggota polis Indonesia mengalami luka kerana terkena benda yang dilemparkan itu.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close