Keadaan sempadan Malaysia-Indonesia Tenang

Rakyat Malaysia mengunjungi Pasar Camar Bulan dalam suasana yang aman dan harmoni di Sambas, Kalimantan Barat, semalam.

Di sebalik suasana tegang yang ditimbulkan penunjuk perasaan anjuran Forum Betawi Rempug (FBR) di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta semalam, masyarakat di kawasan sempadan di Kalimantan Barat yang menjadi pertikaian meneruskan rutin harian seperti biasa.

Tinjauan di Kampung Teluk Melano di sini yang bersempadan dengan Kampung Camar Bulan, Indonesia mendapati penduduk tidak tahu menahu tentang isu pengambilan tanah oleh Malaysia seperti yang didakwa.

Ketua Kampung Teluk Melano, Mohamad Pani khuatir isu yang timbul akan merosakkan hubungan baik yang terjalin dengan penduduk Kampung Camar Bulan.

“Selama ini hubungan kami amat baik dan erat malah masyarakat di kawasan bersempadan ini boleh diibaratkan seperti keluarga yang besar.

“Kami hidup aman damai tanpa pertelingkahan, tiada penduduk di sana yang tidak berpuas hati dan kalau ada pasti kami tahu mengenainya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Semalam, kumpulan daripada FBR yang berjumlah kira-kira 650 orang berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan melempar batu, kayu, buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan.

Ia berikutan dakwaan Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B Hasanuddin pada hujung minggu lalu bahawa republik itu kehilangan 1,400 hektar tanah di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu yang didakwa diambil oleh Malaysia.

Sementara itu, penduduk Kampung Camar Bulan yang mahu dikenali sebagai Rano berpendapat, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana jarak sempadan sedia ada telah dipersetujui bersama.

“Saya ada menonton rusuhan di Jakarta yang disiarkan di televisyen. Tetapi kami di sini langsung tidak tahu-menahu mengenainya termasuklah ketua masyarakat kami,” katanya.

– Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close