Kanak-kanak rindui Pemergian Ibu Maut Kemalangan

Jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah. sesungguhnya kita hanya mampu merancang, namun hanya Dia yang menentukan segalanya. Begitulah yang berlaku kepada arwah adik Batrisyia yang begitu merindui arwah ibunya yang baru meninggal dunia akibat barah tulang.

Sememangnya Batrisyia begitu rapat dengan arwah ibu menyebabkan dia sering menangis terkenangkan ibunya. Namun kelmarin ketika dalam perjalanan untuk menziarahi pusara ibu, kereta yang dinaiki Batrisyia bersama ahli keluarga lain terlibat dalam satu kemalangan sekaligus meragut nyawa Batrisyia.

ANGGOTA polis memeriksa MPV Toyota Avanza yang terbabit dalam kemalangan di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Perai dekat Bukit Mertajam Pulau Pinang, semalam.

Di bawah sedikit petikan mengenai tragedi ini yang diambil dari Utusan-

Pemergian ibunya mengadap Ilahi akibat penyakit barah tulang 12 hari lalu membuatkan seorang kanak-kanak, Batrisyia Osman sering menangis kerana terlalu merinduinya.

Disebabkan dia agak rapat dengan arwah ibunya itu, kehilangan Norzita Mustafa, 37, amat dirasai oleh Batrisyia yang baru berusia tujuh tahun.

Takdir seolah-olah tidak mahu memisahkan dua beranak itu apabila Batrisyia hari ini menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, lebih menyedihkan lagi ketika dalam perjalanan menziarahi pusara ibunya.

Kemalangan berlaku di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pukul 10 pagi ini. Kanak-kanak itu maut di tempat kejadian selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki bersama bapa, kakak dan dua adiknya terbabas sebelum melambung dan merempuh pokok di tepi jalan.

Bapa saudara mangsa, Yahaya Kerya, 42, memberitahu, kemalangan berlaku ketika adiknya, Osman Kerya, 39, sekeluarga dari arah Batu Uban, Pulau Pinang menghala ke Gerik, Perak untuk menziarahi pusara Norzita di Kampung Padang Kunyit.

Kenderaan yang dinaiki keluarga itu dipercayai bergesel dengan sebuah lori tanah sebelum terbabas dan melambung ke kiri jalan sebelum berpusing lalu merempuh pokok mengakibatkan Batrisyia bersama kakaknya, Balkis, 10, dan dua adiknya, Baizatul Akma, 6, dan Baizatul Husna, 4, tercampak keluar.

“Osman pula tersepit di tempat duduk pemandu namun hanya mengalami cedera ringan manakala Baizatul Husna masih dirawat ke wad kecemasan kerana tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.

Tambah Yahaya, selain menziarahi pusara isterinya, Osman juga berhasrat menguruskan pertukaran sekolah Balkis dan Batrisyia dari Gerik ke Pulau Pinang.

Menurutnya, jenazah Batrisyia akan dikebumikan bersebelahan pusara ibunya di Gerik.

Mungkin arwah akan lebih tenang di sana. Al-fatihah untuk adik Batrisyia.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close