Janin Dalam Beg Plastik Sampah Di Rompin

Sebuah beg plastik sampah yang berisi janin ditemui di tapak pelupusan sampah Bukit Ibam, dekat Muadzam Shah, Rompin hari ini.

Bungkusan plastik berwarna hitam itu ditemui seorang wanita Orang Asli yang rutin hariannya mengutip sampah kira-kira 12 tengah hari.

Wanita berusia 50-an itu terkejut apabila mendapati bayi yang tidak cukup bulan di dalam plastik sampah ketika mahu memilih sampah sarap untuk proses kitar semula.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin ACP Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan perkara berkenaan.

“Siasatan awal mendapati janin itu berusia dalam lingkungan tujuh bulan.

Kami percaya plastik sampah itu dikutip di sekitar bandar Muadzam Shah pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata janin yang tidak dikenal pasti jantina tersebut telah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close