Gua Kelam Ditutup Hingga 2012

KEADAAN dalam Gua Kelam yang rosak dan berbahaya kepada pengunjung.

KEADAAN dalam Gua Kelam yang rosak dan berbahaya kepada pengunjung.

Gua Kelam yang menjadi antara tujuh tarikan utama negeri ini akan ditutup kepada pengunjung sehingga pertengahan tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Penguatkuasaan negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Beliau berkata, penutupan itu dibuat berikutan kerosakan teruk dialami Gua Kelam membabitkan kemudahan atau infrastruktur terutama di dalam gua terbabit susulan banjir terbaru yang melanda Perlis, pertengahan bulan lalu.

Selain keadaan fizikal Gua Kelam yang tidak sempurna dan mendatangkan risiko bahaya kepada pengunjung, katanya, penutupan terbabit turut dibuat untuk memberi laluan kepada kerja membaik pulih kawasan serta kemudahan gua, sekali gus mengembalikan semula keindahan tarikan.

“Kita dapati banyak kemudahan rosak termasuk jambatan kayu sepanjang kira-kira 370 meter yang menjadi laluan utama merentasi gua yang terputus akibat dihempap batu ketika banjir.

“Selain itu, sampah sarap serta longgokan kayu turut memenuhi ruangan gua sehingga mencacatkan keadaan, dipercayai akibat banjir yang turut menenggelamkan laluan gua berkenaan,” katanya selepas meninjau keadaan Gua Kelam, di sini.

Berita Harian, semalam melaporkan Gua Kelam ditutup buat kali kedua selepas jambatan sepanjang 370 meter yang menjadi laluan ke tarikan utama negeri itu rosak dan kegagalan pihak pengurusan memaklumkan mengenai kejadian itu menyebabkan pengunjung hampa.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian ke lokasi itu mendapati masih ramai pelancong terutama rakyat tempatan mengunjungi Gua Kelam. Bagaimanapun, masing-masing pulang dengan hampa selepas ia ditutup.

Difahamkan, Gua Kelam yang dilapor menjana kutipan tiket sehingga RM3 juta setahun, dibuka kurang tiga bulan lalu selepas kerja membaik pulih kemudahan serta infrastruktur yang rosak akibat banjir besar pada November 2010 dan Mac lalu membabitkan belanja kira-kira RM500,000, selesai.

Kini, selepas banjir sekali lagi melanda Perlis termasuk Wang Kelian bermula 11 September lalu, segala kemudahan terbabit kembali rosak, lebih-lebih lagi apabila Gua Kelam sendiri dilapor tenggelam susulan peningkatan mendadak paras air Sungai Pelarit, di sini.

Mat Rawi berkata, buat masa sekarang Gua Kelam terpaksa ditutup dan pihaknya akan menggunakan baki peruntukan RM500,000 yang masih ada untuk membaik pulih kerosakan dialami yang dijangka bermula dalam tempoh dua minggu.

“Selain kerja baik pulih, kita juga merancang untuk membina dua kolam takungan di Wang Kelian dan Gua Kelam untuk mengelak limpahan Sungai Pelarit yang turut menjadi punca utama banjir yang menjejaskan Gua Kelam,” katanya.

-Bharian

Facebook Comments

Comments are closed.

Close