Ditembak Rakan Sendiri Kerana Hutang

PETUGAS hospital mengusung Mohd. Anuar yang parah selepas ditembak di pinggang dalam kejadian di Rantau Panjang, Kelantan kelmarin.

PETUGAS hospital mengusung Mohd. Anuar yang parah selepas ditembak di pinggang dalam kejadian di Rantau Panjang, Kelantan kelmarin.

Berpunca daripada masalah hutang, seorang lelaki parah ditembak oleh rakan karibnya dalam kejadian di tepi jalan berhampiran Simpang Empat Salam, Rantau Panjang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Mohd. Anuar Mohd. Noor, 31, yang bekerja sendiri, parah di pinggang kiri dan dada kanan akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh rakannya itu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa yang berasal dari Taman Wahyu Rantau Panjang bersama-sama anaknya, Mohd. Ifni Hamka, 6, dikatakan bertemu dengan dua rakannya di kawasan berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, berlaku pertengkaran antara mangsa dan salah seorang rakannya berusia 30 tahun, dipercayai membabitkan masalah hutang.

“Suspek yang tidak puas hati dengan mangsa telah mengeluarkan pistol dan melepas beberapa das tembakan ke arahnya. Salah satu daripada tembakan tersebut mengenai bahagian pinggang kiri lalu menembusi bahagian kanan dada menyebabkan mangsa cedera parah.

“Anak mangsa yang turut bersamanya dalam kejadian tersebut bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan. Mangsa yang cedera sempat pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

“Orang ramai kemudian membawa mangsa ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, mangsa kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi HRPZ II dan keadaannya kritikal tetapi stabil.

Beliau memberitahu, pihaknya kini sedang giat mengumpul bukti untuk mengesan suspek yang dipercayai rakan baik mangsa.

“Suspek merupakan orang tempatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh dan boleh dikenakan penjara selama 20 tahun,” ujarnya.

Sementara itu, isteri mangsa, Mismaki Mat Rashid, 29, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan sedang menidurkan anak bongsu mereka, Mohd. Iqram Ar-Rashid berusia 11 bulan sebelum dikejutkan dengan jeritan suaminya yang memberitahu dia ditembak.

“Saya bergegas keluar membuka pintu dan terkejut apabila mendapati bajunya berlumuran darah. Anak sulung saya yang bersamanya memberitahu ayahnya ditembak oleh dua lelaki,” katanya.

Menurut Mismaki, sepanjang pengetahuannya, suaminya itu tidak pernah bermusuhan dengan orang kerana dia hanya menjalankan kerja-kerja kampung.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close