Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Firefly

Mereka yang terjejas dengan pembatalan perkhidmatan udara Firefly patut menimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan tambang murah milik Malaysia Airlines (MAS) itu, menurut Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) cawangan Johor.

Pengerusinya, Kenny Ngi berkata, tindakan Firefly membatalkan perkhidmatan dalam tempoh singkat telah menimbulkan kesulitan kepada ramai orang yang telah merancang untuk terbang ke destinasi masing-masing.

“Sudah tentu, Firefly boleh membayar balik harga tiket penerbangan yang telah dibeli tetapi sukar untuk orang ramai membatalkan cuti mereka.

“Ia benar-benar membazirkan masa, tenaga dan duit… jadi, jika anda mahu membuat laporan polis, sila buat demikian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kenny berkata, Firefly sepatutnya memberikan tempoh tertentu kepada pelanggannya sebelum membatalkan perkhidmatannya, daripada membuat keputusan secara tiba-tiba, bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan baru.

Beliau bercakap kepada pemberita di pejabat MATTA di sini mengenai kekecewaan orang ramai berhubung pembatalan perkhidmatan Firefly bagi laluan Johor Bahru-Kuching dan Johor Bahru-Kota Kinabalu dari 15 September, selepas dilancarkan pada Mei tahun ini.

Pembatalan itu telah menjejaskan 7,599 penumpang dan jumlahnya meningkat selepas perkhidmatan laluan Johor Bahru-Bandung dihentikan minggu lepas.

Perkhidmatan bagi laluan Johor Bahru-Surabaya akan berakhir dengan penerbangan terakhir pada 28 Oktober. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close