14 Barangan Kawalan Harga Deepavali

Sebanyak 14 jenis barangan termasuk ayam, daging kambing dan telur disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2011, yang berkuatkuasa Jumaat ini sehingga 30 Okt.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mengikut skim itu harga runcit maksimum ayam hidup ditetapkan pada RM6.40/kg, ayam standard (RM7.50/kg) dan ayam super (RM8.40/kg).

“Kawalan harga ini turut melibatkan empat jenis daging kambing, tiga jenis telur ayam, sayuran juga kekacang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata harga runcit maksimum bagi daging kambing tempatan bertulang ialah RM32.00/kg, daging kambing biri-biri import bertulang (RM20.00/kg), daging kambing biri-biri import tanpa tulang (RM24.00/kg) dan daging paha kambing biri-biri import bertulang (RM26.00/kg).

Bagi telur ayam gred A ditetapkan harga runcit maksimum RM0.36/biji, gred B (RM0.35/biji) dan gred C (RM0.34/biji).

Skim itu juga menetapkan harga runcit maksimum bagi tomato ialah RM4.20/kg, bawang merah kecil (India) (RM5.00/kg), ubi kentang import (China) (RM3.00/kg) dan kacang dhall (Australia) (RM3.50/kg).

Peniaga yang menjual barangan melebihi harga maksimum itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Peniaga turut disyaratkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barang terkawal itu untuk membezakan antara barangan terkawal dan barangan biasa.

“Peniaga yang tidak meletakkan tanda harga merah jambu itu boleh didenda sebanyak RM10,000 atau boleh dikenakan kompaun ”on the spot” RM5,000. Harapan saya semua peniaga mematuhi peraturan ini,” katanya.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close