Wanita & Bayi 23 Hari Maut Kemalangan

Niat murni seorang suami membawa pulang isteri yang masih berpantang bagi menjaga wanita itu dan bayi perempuan berusia 23 hari berakhir tragedi apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 5.1 Muar-Yong Peng, berhampiran Parit Yaani, di sini, kira-kira jam 1.05 pagi semalam.

Dalam kemalangan itu, isterinya terbunuh di tempat kejadian manakala anaknya meninggal dunia lima jam kemudian.

Selain dua beranak terbabit, pemandu kereta lain yang juga pegawai tentera, Khairul Azam Buhari, 26, berpangkat kapten meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, ketika menyambut Aidilfitri di Kelantan, baru-baru ini, Mohd Hanizan Bahari, 28, terlalu rindukan isterinya, Azalina Mat Yasin, 27, dan anaknya itu sebelum mengambil keputusan membawa pulang ke rumahnya di Sri Gading, di sini.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kira-kira 10 kilometer dari rumahnya bersama ibu, Habsah Ab Latiff, 58, dan ibu saudaranya, Khadijah Omar, 60, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan bertembung sebuah kereta lain.

Bapa mangsa, Bahari Abdul Ghani, 57, berkata ketika menyambut Aidilfitri lalu, Mohd Hanizan asyik mengambil gambar anak dan isterinya, malah ketika diajukan soalan, dia menjawab itu akan dijadikan kenang-kenangan, namun tidak menyangka foto diambilnya itu menjadi memori tidak dapat dilupakannya.

“Ketika itu dia asyik mengambil gambar dua beranak berkenaan. Pada mulanya kami hairan, namun apabila dia mengatakan mahu menjadikan kenangan kami membiarkan saja kerana maklum itu anak pertama mereka.

“Bagaimanapun, kami tidak menyangka ia kenangan terakhir mereka sekeluarga sebelum kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, dia menerima panggilan awal pagi semalam daripada seorang ahli keluarga yang memaklumkan kejadian itu dan bergegas ke Hospital Batu Pahat untuk melihat keadaan keluarganya.

“Sejurus menerima berita itu, saya bersama beberapa keluarga bergegas dari Kelantan dan menuju Unit Forensik Hospital Batu Pahat.

“Sebaik tiba, baru saya mengetahui menantu dan cucu saya sudah pergi meninggalkan kami, manakala isteri, Habsah, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Hanizan serta ibu saudaranya, Khadijah, masih menerima rawatan di wad,” katanya. Katanya, walaupun sedih dengan kejadian itu, namun mereka reda dan menganggap semua berlaku ketentuan Ilahi, malah akan menguruskan proses penghantaran pulang kedua jenazah ke kampung mereka di Kampung Takang, Bachok, Kelantan.

Harian Metro difahamkan, Hanizan bertugas di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading di sini, sebagai pegawai latihan vokasional, sementara isterinya, seorang guru agama dan mengajar di sebuah sekolah di Sabah.

Ketika ditemui di wad semalam, Hanizan belum mampu bercakap dan cedera serius serta patah kaki kanannya, namun ditemani beberapa rakan dari KKTM.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Hasnizan yang memandu Proton Waja bersama isteri, anak, ibu dan ibu saudaranya dalam perjalanan pulang dari kampung mereka di Bachok, Kelantan, sebelum bertembung Perodua Kancil dipandu Khairul Azam.

Difahamkan, Khairul Azam bertugas di sebuah kem tentera di Taiping, Perak dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close