Usahawan Di Tipu Sindiket Gunakan Nama PDRM

ADU...Khairul Anwar melihat laporan Rosnani (tengah), semalam.

ADU...Khairul Anwar melihat laporan Rosnani (tengah), semalam.

Satu sindiket diketuai seorang wanita licik dikesan menjadikan kaum hawa yang juga ahli perniagaan di seluruh negara sebagai sasaran dengan menawarkan projek bernilai jutaan ringgit membabitkan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bermodalkan muzium PDRM itu sendiri sebagai pejabat operasi dan penyerahan tawaran tender, sindiket terbabit dipercayai didalangi ‘orang dalam’ memperdaya usahawan wanita yang tertarik pelbagai projek kerajaan dengan kes terbaru membabitkan penipuan RM10 juta.

Kegiatan mengaut untung mudah itu dipercayai dijalankan beberapa individu termasuk ‘pegawai’ PDRM sejak hujung tahun lalu dengan semua mangsa wanita yang pernah mendapat projek daripada agensi kerajaan dan berminat untuk menjalinkan usaha sama dengan PDRM.

Tidak cukup dengan itu, individu terbabit turut mengaitkan bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Robiah Abdul Ghani kononnya semua projek membabitkan muzium akan diluluskannya selain mendapat pulangan berlipat kali ganda.

Mangsa, Rosnani Sengari, 45, berkata dia diperkenalkan kepada suspek oleh jiran rakan kongsinya yang mendakwa mempunyai saluran tertentu untuk mendapatkan peluang perniagaan termasuk kerja pembinaan di muzium berkenaan.

Katanya, dalam pertemuan di rumah suspek di Senawang, Negeri Sembilan, wanita itu memperkenalkan dirinya pembantu khas kepada seorang pegawai kanan polis yang juga kurator muzium itu.

“Pada pertemuan singkat itu, suspek menunjukkan senarai barangan untuk dibekalkan kepada PDRM dan meminta saya datang ke muzium di Jalan Perdana untuk sesi penerangan selain urusan menandatangani dokumen berkaitan berhubung tender terbabit. “Wanita itu memaklumkan semua barangan akan dibeli PDRM dan saya diminta menyediakan bayaran RM70,000 sebagai modal untuk proses terbabit. “Selepas itu, saya dibawa berjumpa seseorang dikenali sebagai Hasbullah di sebuah bengkel tempat projek sepatutnya dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat di pejabatnya, semalam.

Rosnani berkata, kerana yakin akan mendapat tender terbabit, dia menyerahkan wang secara berperingkat selama dua minggu kepada suspek dengan nilai keseluruhannya RM870,000 secara tunai dan cek.

Selepas itu, katanya, wanita terbabit menyerahkan dokumen pesanan kerajaan daripada bahagian logistik Bukit Aman berjumlah RM1.7 juta untuk membekalkan peralatan muzium terbabit menyebabkan dia yakin berurusan dengan pihak yang betul. “Awal Januari lalu, dia bertemu saya dan seorang lagi rakan niaga dan menyerahkan surat lantikan bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf muzium polis berjumlah RM4.5 juta. Melihat ia ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, saya bertambah yakin biarpun pada masa sama menantikan hasil ‘pelaburan’ awal seperti dijanjikan,” katanya.

Namun, katanya, impian untuk mendapatkan semula modal dikeluarkan tidak menjadi kenyataan selepas tidak menerima bayaran yang sepatutnya menyebabkan dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena.

Katanya, dia dan beberapa mangsa lain menghubungi wanita itu, tetapi hampa sebaik dimaklumkan bayaran berkenaan masih di dalam proses dan mula memberikan pelbagai helah setiap kali dihubungi.

Media juga berpeluang mendengar penjelasan suspek yang dihubungi ketika sidang akhbar berkenaan dan dia hanya memaklumkan tidak dapat berbuat apa-apa sebelum menamatkan perbualan.

Bagi menyelesaikan bebanan hutang semasa termasuk pinjaman lain, Rosnani terpaksa membuat pinjaman kepada along dengan kadar faedah antara RM20,000 hingga RM30,000 sebulan menyebabkan hubungan dengan ahli keluarga termasuk suaminya mula menghadapi masalah.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada pengadu mengenai perkara itu yang ditipu suspek sama dan hasil maklumat awal mendapati, ia dilakukan individu sama yang memperdaya usahawan khususnya wanita dengan tawaran projek kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, SukaGuam akan membawa masalah itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk tindakan susulan selain bertindak menjadi peguam kepada mangsa demi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

“Berdasarkan kes, kami dimaklumkan ada 10 mangsa yang ditipu sindiket terbabit dengan menjadikan PDRM sebagai sasaran penyamaran. Saya akan merujuk kes ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi membantu mangsa. SukaGuam juga tidak mengenakan sebarang caj kepada mereka,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close