Tahap Kualiti Udara Di Nilai Merosot

Kualiti udara di Nilai merosot daripada sederhana kepada tidak sihat setakat tengah hari Jumaat, apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di situ mencatat 101.

Laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada laman webnya menyatakan bagi tempoh sama, 35 kawasan di seluruh negara masih mencatatkan IPU sederhana dan 15 kawasan berkualiti udara baik.

Pada awal pagi tadi, JAS melaporkan, lima kawasan mencatat IPU tertinggi ialah Nilai, Negeri Sembilan dengan 98, Bukit Rambai, Melaka (96); Petaling Jaya dan Shah Alam di Selangor yang masing-masing mencatat 87, dan Port Dickson, Negeri Sembilan (86).

IPU pada tahap antara 0 dan 50 merupakan bacaan IPU baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan IPU berbahaya apabila bacaan melebihi 301.

JAS menerusi satu kenyataan semalam menjangkakan keadaan berjerebu berterusan beberapa hari akan datang dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta bekerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil.

Sementara itu dalam laporan awalnya, JAS merekodkan 36 kawasan di negara ini mencatatkan kualiti udara sederhana, manakala 15 lagi merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik pada jam 7 pagi tadi.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close