Suspek Kes Bunuh Remaja Dicari

Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditemui mati di dalam pembetung Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bukit Sentosa di Hulu Selangor, awal tahun lalu.

S. Chandrasegaran, 35, yang beralamat terakhir di Nombor 91-B Ladang Mery, Batang Berjuntai, Selangor dikehendaki setelah polis mendapat maklumat menerusi penahanan 12 suspek kes itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, suspek dikenali orang ramai di Hulu Selangor dan sangat dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

“Gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini diminta memaklumkan kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 14 Januari 2010, mangsa bersama seorang lagi rakan diserang satu kumpulan yang dipercayai diketuai suspek yang bersenjatakan kayu, kayu hoki dan batu berhampiran kawasan pembetung TNB.

Berikutan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya yang cedera di badan sempat melarikan diri dan dibawa oleh penduduk ke Balai Polis Bukit Beruntung.

Polis yang datang ke tempat kejadian menemui mayat mangsa dicampak ke dalam satu lubang pembetung dan menahan beberapa anggota kumpulan samseng tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641222 atau Asisten Supritendan Mohd. Yatim Osman di talian 017-3575377.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close