Safee Sali & Dua Pemain Import Akan Dipanggil Untuk Hadapi Piala selangor

Penyerang kebangsaan Safee Sali dan dua pemain import antarabangsa dijangka menjadi taruhan pasukan Selangor untuk menentang Singapura pada Piala Sultan Selangor, 1 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa kejohanan itu, Datuk Abdul Karim Munisar berkata, pihaknya akan meminta izin daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk membawa pulang Safee dari Kelab Pelita Jaya, Indonesia bagi mengukuhkan kekuatan The Red Giants itu.

Katanya, pihaknya juga telah mengenal pasti dua orang pemain antarabangsa yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu setelah mendapat persetujuan bertulis daripada mereka.

“Gandingan pemain tempatan dan pemain import diharap akan berjaya membawa balik piala berprestij ini ke Selangor,” katanya pada majlis minum petang di sebuah hotel di sini hari ini.

Kali terakhir Selangor menjuarai kejohanan itu adalah pada 2008.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close