QPR Runding Untuk Membawa David Beckham

Queens Park Rangers telah membuka perbincangan mengenai kemungkinan membawa David Beckham ke kelab itu.

Pemilik baru, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan minat terhadap pemain tengah LA Galaxy itu dalam akaun Twitternya dengan berkata: “Saya fikir memiliki seorang pemain seperti David (Beckham) pastinya hebat. Sering ada dalam pemikiran saya. Kita lihat nanti.”

Impian Fernandes melihat Beckham menyarung jersi Rangers bukan mimpi kosong.

Sumber Loftus Road memberitahu Sportsmail Rangers sudah mengadakan perbincangan awal dengan wakil Beckham berhubung kemungkinan perpindahannya ke London barat.

Kontrak bekas bintang Man. United dan Real Madrid itu tamat November ini, dan dia dibenarkan menyertai kelab lain secara perpindahan percuma.

Pengurus QPR, Neil Warnock tidak menunggu lama untuk membelanjakan jutaan pound yang diperuntukkan oleh Fernandes dan naib pengerusi, Amit Bhatia sejak mereka mengambil alih tampuk daripada Flavio Briatore dan Bernie Ecclestone.

Ketibaan Joey Barton, Shaun Wright-Phillips dan Anton Ferdinand sudah dianggap sebagai pembelian terkemuka oleh pendatang baru EPL, namun sekiranya kedatangan Beckham pasti melonjakkan status mereka.

Fernandes difahamkan akan menggunakan hubungannya dengan syarikat hiburan global, AEG, yang memiliki LA Galaxy sebagai langkah pertama memburu tandatangan Beckham.

Warnock juga memberikan lampu hijau kepada kedatangan Beckham kerana merasakan banyak yang boleh ditawarkan pemain veteran tersebut di dalam dan luar padang.

Fernandes pastinya ingin menggunakan populariti Beckham untuk mempromosikan jenama QPR di Asia.

Sumber yang rapat dengan Beckham kelmarin berkata pemain itu belum memikirkan mengenai masa depannya sehingga kontraknya di LA Galaxy tamat.

Namun, pemain berusia 36 tahun itu sedia menimbangkan segala destinasi seterusnya, terutamanya di London. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close