PTPTN Lupus RM312j Pinjaman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melupuskan pinjaman pendidikan sebanyak RM312.24 juta kepada 10,849 graduan yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sehingga akhir bulan lepas.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, ini adalah selaras dengan fungsi PTPTN yang mengiktiraf pencapaian cemerlang graduan ketika mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, mesej ini adalah jelas untuk mendorong dan mencabar mahasiswa agar serius mengikuti pengajian di universiti tanpa dihinggapi sindrom ‘cukup makan’ sahaja.

‘‘Daripada jumlah itu seramai 2,103 penerima biaya itu terdiri daripada graduan bumiputera dalam pelbagai jurusan yang melibatkan jumlah RM42.84 juta.

‘‘Manakala statistik itu turut menunjukkan seramai 8,746 penerima biaya PTPTN terdiri daripada kalangan bukan bumiputera membabitkan amaun berjumlah RM269.39 juta,” katanya.

Ismail merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau berkata demikian kepada Utusan Malaysia setelah mengadakan perjumpaan dengan Exco Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (Mampan) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Mampan Norfarhan Mustaffa dan bekas Presiden Mampan pertama, Abdul Razak Ahmad serta wakil Mampan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hanisah Burhanuddin.

Tambah Ismail, bilangan mahasiswa bumiputera mendapat ijazah kelas pertama sangat kurang berbanding bukan bumiputera dan ini patut dijadikan cabaran.

Sementara itu, katanya, PTPTN telah mengeluarkan sejumlah pinjaman sebanyak RM39.87 bilion kepada 1.8 pelajar sehingga akhir bulan Julai lepas.

“Pada tahun 2011, PTPTN telah memperuntukkan sebanyak RM4 bilion lagi iaitu sebanyak RM2.62 bilion kepada 374,000 peminjam sedia ada dan RM1.34 bilion kepada 206,000 peminjam baharu bagi sesi September ini.

Bagaimanapun, tegasnya, bayaran balik yang diterima setakat ini ialah sebanyak RM2.6 bilion yang membabitkan 715,000 orang peminjam atau 48.33 peratus.

“Jumlah patut bayar balik oleh graduan lepasan IPT ini membabitkan 998,000 pinjaman atau RM5.9 bilion tetapi majoriti mereka gagal menjelasnya mengikut perjanjian.

“PTPTN tetap bersetuju menangguhkan pembayaran balik pinjaman kepada 31,000 orang dengan nilai RM491 juta setelah mengambil kira alasan peminjam,” jelasnya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close