Piala Malaysia | Nasib Berbeza Kelantan & Selangor

Kelantan memulakan kempen Piala Malaysia 2011 dengan cemerlang selepas menundukkan Sarawak 2-0 di tempat lawan, manakala Selangor bermula langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada T-Team di Kuala Terengganu semalam.

Di Stadium Negeri, Kuching Kelantan yang juga juara Liga Super musim ini tidak menghadapi masalah untuk memungut tiga mata dalam saingan Kumpulan C menewaskan Sarawak 2-0 hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-69 dan S. Chanturu 85.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C di Stadium Pasir Gudang, Felda United menang 2-0 ke atas Johor FC apabila Farderin Kadir muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol tersebut pada minit ke-44 dan ke-68.

Selangor yang beraksi dalam Kumpulan D terpaksa menerima hakikat bahawa persediaan mereka masih kurang mantap tatkala T-Team menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk mencatat kemenangan 1-0 hasil jaringan Norfazly Alias pada minit ke-73.

Kuala Lumpur mencuri tumpuan dalam saingan Kumpulan D selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menerusi gol sendiri Azrul Azman (44) , Badrul Hisyam Azmi (64) dan Yong Kuong Yong (76).

Kedah menerajui Kumpulan A selepas memungut tiga mata dengan menewaskan Johor 2-0 di Stadium Larkin hasil Khyril Muhymeen Zambri yang menyumbat dua gol pada minit ketujuh dan ke-80.

Sabah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Likas apabila terikat tanpa jaringan bertemu Perak.

Terengganu juga bermula dengan langkah kanan walaupun bertandang ke gelanggang lawan.

Terengganu menang 3-0 ke atas Sime Darby di Stadium MP Selayang, apabila memperolehi jaringan melalui Joseph Kallang Tie pada minit keenam manakala Reshafiq Alwi menambah gol kedua 12 minit sebelum separuh masa pertama tamat dan gol ketiga disumbang Abdul Manaf Mamat pada minit ke-86.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close