Perlaksanaan Hukum Hudud | DAP Mahu Mesyuarat Tergempar

DAP telah meminta Pakatan Rakyat supaya mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan dan menyelesaikan pendirian Pas untuk melaksanakan hukum Hudud dan penubuhan negara Islam.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu sentiasa membantah agenda penubuhan negara Islam dan sekretariat Pakatan harus mengatur mesyuarat tergempar mengenai rancangan parti Pas itu.

Katanya, sebarang kelewatan menangani isu kontroversi itu akan menghakis teruk keyakinan awam khususnya di kalangan bukan Islam dalam Pakatan.

“Sebuah mesyuarat tergempar perlu diadakan serta merta bagi memperjelaskan secara terbuka pendirian Pakatan dalam isu ini dan kontroversi itu perlu ditamatkan secara muktamad,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tetap akan menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum Hudud biarpun tidak mendapat sokongan daripada sekutunya dalam pembangkang iaitu DAP.

Bagaimanapun, Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, sebuah negara Islam tidak boleh ditubuhkan dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia kerana tidak dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close