Nelayan Maut Dipanah Petir

Kegembiraan tiga sahabat menjala udang dan memancing ikan di Puteri Harbour di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat dipanah petir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Desa Hashim, 52, yang bekerja sebagai nelayan mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Hamidun Mohamed, 31, dan Tarmizi Jailani, 50, terselamat.

Hamidun ketika menceritakan kejadian itu berkata, mereka bertiga keluar ke laut kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki bot fiber milik mangsa.

“Selepas sejam kami menjala udang, hujan turut dengan lebat menyebabkan kami terpaksa berteduh di rumah rakit berhampiran tempat kami menjala.

“Sebaik sahaja hujan reda, kami ke laut semula untuk memancing ikan. Sedang kami sibuk menyiapkan kelengkapan memancing, saya terdengar dentuman kuat beserta cahaya petir,” katanya ketika ditemui di kediaman Mat Desa di sini hari ini.

Hamidun yang bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, akibat dentuman itu, mangsa tercampak ke laut manakala Tarmizi terjatuh atas bot.

Dia kemudian segera terjun untuk mencapai kaki mangsa dan menariknya semula ke dalam bot sebelum menghubungi isteri mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Razak Md. Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian ini dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika pergi memancing terutama dalam keadaan cuaca buruk dan disertai hujan lebat serta petir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perintis.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Fauziah Yahya, 49, dan dua anak lelaki, Mohd Amirul, 15, dan Mohd Ashraf, 10 tahun.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close