Murid SK Othman Shawal Keracunan Selepas Meminum Susu Kotak

Seramai 70 murid Sekolah Rendah Kebangsaan Othman Shawal, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah di sini mengalami keracunan makanan selepas meminum susu kotak yang dibekalkan pihak sekolah pagi ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, sebanyak 23 pelajar perempuan dan 47 pelajar lelaki mengalami sakit perut dan muntah pada pukul 10.30 pagi.

“Semua pelajar yang terlibat telah dirawat sebagai pesakit luar dan semua mereka telah dibenarkan pulang.

“Terdapat tanda-tanda awal keracunan pada susu itu apabila ia didapati berasa masam dan kita telah menghentikan pemberian susu itu serta-merta,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 681 lagi kotak susu telah disita dan pemantauan lanjut sedang dilakukan.

Pada Jun lalu, keracunan sama berlaku melibatkan 97 murid di tiga sekolah rendah di Melaka yang mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas tiga jam meminum susu kotak berperisa coklat berjenama Dutch Lady yang diproses pada suhu tinggi (UHT) itu.

Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka As-Syakirin, Selandar dan SK Lendu di Alor Gajah.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close