Mayat Lelaki Vietnam Di Belakang Pusat Beli-belah Sungai Petani

Orang awam yang menggunakan jalan berdekatan bangunan usang lapan tingkat di belakang sebuah pusat beli-belah di sini terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki warga asing dalam keadaan tertiarap dalam lubang lif di bangunan itu hari ini.

Berdasarkan slip pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin Jabatan Imigresen Malaysia yang ditemui, mangsa yang dikenali sebagai Truong Cong Yhanh, 26, dan berasal dari Vietnam sedang bekerja di negeri ini. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hashim Ali ketika dihubungi berkata, polis menerima aduan orang ramai berhubung penemuan mayat itu jam 9 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa berkemungkinan tergelincir ketika berada dalam bangunan usang terbabit, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengumpul maklumat berhubung kes itu.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa mungkin berada dalam bangunan itu untuk mengambil sarang burung yang banyak terdapat di tingkat atas bangunan terbabit.

Katanya, bangunan yang berdepan tapak pembinaan projek landasan kereta api berkembar yang sedang dijalankan itu juga sudah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close