Maniam Bakal Ganti Devan

TUGAS berat untuk menyelamatkan ‘Misi 33’ kini digalas P Maniam yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih baru Selangor, menggantikan K Devan yang mengosongkan kerusi panas itu berkuat kuasa semalam.

Maniam yang bertindak selaku penolong kepada Devan sejak tiga tahun lalu serta mempunyai Lesen A akan membimbing juara 32 kali Piala Malaysia itu menghadapi baki dua perlawanan Kumpulan D, menentang PDRM, Sabtu ini dan Kuala Lumpur, tiga hari kemudian.

Sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ke atas bahu jurulatih berusia 43 tahun itu yang pernah membimbing Selangor memenangi Piala Belia 2006 dan Presiden 2008, adalah memenangi kedua-dua perlawanan terbabit ketika peluang kini tipis untuk layak ke suku akhir.

“Mungkin akan berlaku beberapa perubahan taktikal kerana setiap jurulatih mempunyai cara tersendiri mengendalikan pasukan. “Saya akan cuba memberikan yang terbaik terhadap tanggungjawab diberikan ini,” kata Maniam yang turut menganggap Devan sebagai sifu dan mengaku banyak belajar daripada pengendali berpengalaman itu.

Pengumuman pengunduran Devan itu diumum Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan ia dicapai atas persetujuan bersama walaupun kontrak jurulatih terbabit hanya berakhir pada 31 Oktober ini.

“Keputusan ini dicapai selepas mesyuarat khas pengurusan pasukan malam semalam (malam kelmarin) dan usaha memujuknya juga gagal. Khidmat beliau selaku ketua jurulatih Selangor tamat bermula hari ini (semalam). Keputusan itu dibuat Devan kerana beliau berasa bertanggungjawab terhadap persembahan buruk Selangor,” katanya pada sidang media petang semalam.

Ketika ditanya mengenai pelantikan Maniam itu sebagai langkah jangka pendek atau sebaliknya, Hamidin berkata, perancangan penuh mengenai skuad Merah Kuning itu akan diumumkan selepas saingan Piala Malaysia berakhir, termasuk beberapa perkara yang menyumbang kepada kemerosotan mereka musim ini.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close