Malaysia Berjaga-jaga Terhadap Influenza A (H5N1)

Malaysia mengambil sikap berjaga-jaga terhadap Influenza A (H5N1) walaupun tiada kejadian penyakit berkenaan di negara ini sejak 2003, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, katanya, pasukan pengawasan kementerian itu sudah diaktifkan untuk memantau keadaan sebenar di luar dari semasa ke semasa.

“Malaysia adalah bebas daripada Influenza A H5N1 sejak 2003 kerana masih belum ada contoh positif penyakit berkenaan diperolehi.

“Namun kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Vetrinar. Sekiranya ada ayam sakit, kita akan pastikan ia tidak menular dan menjangkiti manusia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Merdeka Raya kementerian itu di sini.

Liow menggesa orang ramai mengambil langkah pencegahan termasuk segera mendapatkan rawatan perubatan di klinik jika menghidap tanda-tanda demam seperti selesema.

Mengenai jerubu, menteri itu menggesa orang ramai mengelakkan daripada melakukan aktiviti luar di kawasan di mana Indeks Pencemaran Udara (API) berada pada paras tidak sihat.

“Pesakit menghidap sakit mata, lelah dan bronkitis yang kronik perlulah mendapatkan rawatan perubatan segera,” katanya.
Ditanya sama ada kementerian akan mengedarkan topeng muka sekiranya kualiti udara merosot, beliau berkata kementerian itu tidak akan berbuat demikian kerana topeng itu senang dan murah didapati di pasaran. – BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close